Jumaat, 1 Jun 2012

Pasangan kekasih Bangang kes samun, cabul ditahan

KUALA LUMPUR: Selepas 20 hari menjadi buruan polis, pasangan kekasih yang juga suspek kes samun dan cabul membabitkan seorang ejen hartanah di sebuah kondominium mewah di Mont Kiara, 10 Mei lalu berjaya ditahan di lokasi persembunyian mereka di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata kedua-dua suspek diberkas jam 11 malam, kelmarin sebaik menerima maklumat orang ramai yang mengecam wajah mereka berdasarkan gambar disiarkan media sebelum ini.
Katanya, identiti dua suspek berusia 33 tahun itu berjaya dikenal pasti berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari tempat kejadian sebelum disebarkan kepada media.
“Hasil maklumat orang ramai yang mengecam wajah mereka, pasangan itu berjaya ditahan malam semalam (kelmarin) bagi membantu siasatan.

“Kita mendapatkan perintah reman tujuh hari ke atas pasangan terbabit bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 354 akta sama, masing-masing atas kesalahan samun dan cabul,” katanya.

Dalam kejadian 10 Mei lalu, seorang ejen hartanah bukan hanya dicabul, malah turut disamun dan dikurung lebih 10 jam di sebuah unit kondominium mewah di Mont Kiara, di sini ketika mengendalikan urusan jual beli hartanah berkenaan.

Difahamkan, wanita berusia 34 tahun itu, yang berasal dari Kepong, dihubungi sepasang suami isteri menyatakan minat untuk melihat unit kondominium berkenaan sebelum mengadakan temu janji. Namun, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dibelasah sebelum dibogel dan dicabul, seterusnya diikat dan dikurung lebih 10 jam.
Mengulas lanjut, Chin Wah berkata, kes berkenaan yang pertama membabitkan modus operandi sedemikian, dengan suspek menyamar sebagai pembeli atau penyewa, selain menyasarkan ejen hartanah sebagai mangsa.

“Kita sedang menyiasat punca sebenar kejadian, namun tidak menolak ia bermotifkan samun. Ia berikutan mangsa kehilangan pelbagai barangan berharga, termasuk telefon bimbit dan beg duit.

“Malah, kereta miliknya jenis Toyota Vios turut dilarikan kedua-dua suspek. Usaha sedang dijalankan bagi mengesan kenderaan berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan