Peguam Syarie, Saiful Adli Mohd Arshad, berkata beliau banyak mengendalikan kes perceraian yang berpunca daripada tindakan suami yang melafazkan talak tanpa niat.
Saiful Adli berkata, ada juga suami melafazkan talak atau cerai secara tidak jelas (lafaz Kinayah) atau secara sindiran hingga menimbulkan kekeliruan isteri berhubung status perkahwinan mereka.
Katanya, antara lafaz talak tidak jelas seperti ‘mulai hari ini kamu (isteri) boleh balik ke rumah ibu bapa kamu, jangan datang ke sini lagi’ atau ‘mulai hari ini kita pilih jalan masing-masing’.
“Jika perkara itu berlaku, isteri dinasihatkan segera membuat aduan ke Mahkamah Syariah untuk memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai.
“Mereka perlu menemui hakim dan beritahu kes suami melafazkan cerai secara kurang jelas dengan menyatakan tarikh dan di mana lafaz itu dibuat.
“Hanya dalam keadaan ini, hakim mahkamah syariah mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada jatuh talak atau tidak selepas membuat analisa dan kajian terperinci dari pelbagai sudut hukum nikah dan cerai,” katanya.
Berikutan itu, Saiful Adli menasihatkan suami isteri supaya tidak menjadikan lafaz cerai dan talak sebagai bahan mainan atau gurau-an.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan